Sabtu, 12 Jun 2010


Lembu penternak ramping
Oleh Mohd Zawawi Mat Ail

DUNGUN:        Penternak lembu di Kampung Serdang, Kampung Padang Pulut dan beberapa buah kampung di sekitar mengeluh kesukaran mendapat bekalan rumput setelah sebuah padang ragut awam seluas 24 hektar milik Jabtan Haiwan ditutup 4 tahun lalu setelah disewakan kepada sebuah syarikat penternakan.
Ketiadaan padang ragut menyebabkan lembu peliharaan penternak menjadi kurus kering serta lemah tidak bermaya kekurangan makanan.
 Penternak tidak mampu berbuat apa-apa selain terpaksa mendapatkan rumput di tepi-tepi jalan di sekeliling kampung manakala lembu yang sebelum ini dipelihara di kandang terpaksa dibiarkan berkeliaran mencari makan termasuk di sekitar jalan raya yang sibuk dengan pelbagai kenderaan.
Walaupun menyedari tindakan itu adalah satu kesalahan dan membahayakan keselamatan pengguna jalanraya dan juga sekaligus boleh menyebabkan binatang peliharaan mereka mati dirempuh kenderaan yang lalu lalang, penternak  terpaksa membiar binatang peliharaan berkeliaran kerana tidak mampu lagi memberi rumput kepada binatang peluiharaan kerana ketiadaan padang ragut.
Penternak, Saat Abdullah, 62, berkata, beliau putus harapan untuk terus menternak lembunya yang hanya tinggal  10 ekor sahaja dan kurus kering tidak bermaya selepas seekor demi seekor terpaksa dijual kerana sukar mendapatkan bekalan rumput.
 “Pihak berkaitan perlu mempunyai perancangan terlebih dahulu sebelum menyewakan padang ragut yang menjadi tempat penternak mendapatkan bekalan rumput berpuluh tahun lamanya itu,” katanya kesal.
Rakan beliau, Abu Bakar Idris, 62, berkata, sebelum ini padang ragut seluas 24 hektar itu bukan sahaja menjadi tumpuan penternak dari kampung-kampung berdekatan sahaja malah penternak dari Bandar Dungun sanggup menempuh perjalanan sejauh 15 kilometer bagi mendapatkan bekalan rumput di padang ragut itu.
“Ada diantara penternak yang selama ini menjadikan aktiviti menternak lembu sebagai sumber pendapatan terpaksa menjual sebahagian binatang ternakan mereka ekoran ketiadaan padang ragut yang menjadikan kerja itu tidak lagi menguntungkan.
“Sumber pendapatan kami terjejas teruk selepas padang ragut ditutup empat tahun lalu.
“Kami merayu pihak bertanggungjawab mewujudkan semula padang ragut bagi membolehkan penduduk menternak lembu sebagaimana yang dapat menampung pendapatan kami sebagai petani yang tidak seberapa.
“Penutupan padang ragut memusnahkan harapan kami untuk berjaya dalam aktiviti penternakan lebih-lebih lagi setelah mengorbankan masa bertahun lamanya di bawah skim pawah yang dianjurkan Jabatan Haiwan,” katanya hiba.
Penternak, Yahaya Wook, 51, berkata, beliau yang tidak memiliki tanah lapang dan menanam rumput diatas sebidang tanah milik orang lain dirundung rungsing kerana pada bila-bila masa sahaja tuan tanah boleh mengambil semula tanah untuk dimajukan.
“Sekiranya padang ragut diwujudkan semula, saya dan penternak lain tidak lagi rungsing memikirkan nasib disebabkan ketiadaan tempat untuk menanam rumput lembu peliharaan.
“Saya hairan selepas padang ragut ditutup 4 tahun lalu, tiada usaha dilakukan oleh bagi menggantikan padang ragut yang ditutup itu dengan sebuah padang ragut yang baru sedangkan terdapat tanah rizab kerajaan yang luas di kawasan sekitar Kampung Serdang.
            Rungsing dengan nasib yang dialami, beliau dan beberapa penternak berjumpa degan pegawai Jabatan Haiwan Dungun meminta pihak Jabatan Haiwan Dungun mengadakan semula sebuah padang ragut bagi menggantikan padang ragut yang ditutup kerana disewakan kepada sebuah syarikat penternakan.
Beliau difahamkan oleh pegawai Jabatan Haiwan bahawa pihak Jabatan Haiwan menghadapi kesulitan mewujudkan sebuah padang ragut yang baru kerana tiada pihak yang datang mencadangkan tapak yang baru untuk dijadikan padang ragut.
Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh, berkata, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung perlu bertindak segera dengan membentangkan tapak cadangan yang bersesuaian untuk dijadikan padang ragut kepada Jabatan Haiwan dengan segera.
Beliau kesal tiada cadangan membuka padang ragut yang baru dibuat oleh JKKK Kampung Serdang kepada pihak Jabtan Haiwan walaupun sudah 4 tahun penternak di kampung itu menghadapi masalah mendapatkan bekalan rumput setelah padang ragut yang sedia ada ditutup.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Serdang, Kamarudin Embong, 62, berkata, cadangan tapak padang ragut baru akan dibentangkan kepada pihak Jabatan Haiwan Daerah setelah semakan dibuat dan tanah yang bersesuaian dikenal pasti. END
Caption:
0000: Lembu penternak di Kampung Serdang, Kemudi, Padang Pulut dan beberapa buah kampung berhampiran  kurus kering kerana kekurangan rumput selepas padang ragut awam yang ditutup 4 tahun lalu tidak diganti.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Cari Blog Ini